Sunday, October 7, 2012

JEPUN MENDARAT DI PANTAI BACHOK


PENDUDUKAN JEPUN DITANAH MELAYU

TARIKH PERISTIWA : 08. 12.1941

Pada  hari  ini  dalam tahun 1941,  Tentera  Jepun  yang  diketuai  oleh Jeneral Takumi telah  mendarat  di  Pantai  Sabak  di  Kota  Bharu, Kelantan.  Pendaratan  ini  telah  menandakan bermulanya  siri  penawanan  Tentera  Jepun  ke atas Tanah Melayu.  Usaha  Tentera  Inggeris di  bawah  pimpinan  Brigadier  Kay  yang  mengetuai  28th Indian Infantry Brigade  dalam mempertahankan Kota Bharu telah  menemui  kegagalan.  Sebelum mendarat di Kota Bharu, Jepun telah menandatangani Perjaniian Persahabatan dengan Thailand yang membenarkan Jepun mendarat dan mara ke Tanah Melayu melalui Selatan Thai iaitu melalui Singgora dan Patani.  Semasa serangan ini, pertahanan di Tanah Melayu tidak cukup bersedia dan Inggeris menyangka bahawa tentera Jepun akan menyerang Singapura melalui laut lalu menumpukan pertahanan di Singapura. Sebaliknya tentera Jepun telah mendarat di Kota Bharu dan mara ke selatan. Sementara itu tentera Jepun dari Singgora dan Patani telah mara ke Kedah dan memecahkan pertahanan di Jitra dan Alor Setar. Kedua-dua ketumbukan tentera Jepun ini telah bergerak ke arah selatan dengan pantasnya  berikutan itu Pulau Pinang jatuh ke tangan Jepun pada 17 Disember  1941  diikuti  oleh  Ipoh  pada  27  Disember  1941.  Akhirnya  Jepun menawan  Kuala  Lumpur pada 11 Januari 1942  dan berjaya  menakluki  seluruh  Semenanjung Tanah Melayu.

[SUMBER : ARKIB NEGARA.COM]

SEJARAH TOK KENALI


Tokoh ulama Kelantan paling masyhur, malah termasuk antara ulama besar Semenanjung Melayu. Sezaman dengan Tuan Husein Kedah, Pak Wan Sulaiman (Syeikhul Islam Kedah), Haji Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang), Haji Abu Bakar Alim (Muar), Haji Mat Shafie Losong (Terengganu) dll. Guru pondok yang sangat dihormati, bahkan hingga sekarang pun namanya masih menjadi bualan dan disebut ramai.
Nama sebenar tokoh pendidik yang dilahirkan di Kg. Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu pada 1287H/1870M ini ialah Haji Mohd. Yusoff Ahmad.
Menuntut di Makkah selama 22 tahun (1305H – 1327H). Sangat alim dalam ilmu tatabahasa Arab (nahu/soraf), malahan beliaulah yang merintis kemasukan mata pelajaran ini ke dalam kurikulum pengajian pondok (sebelum ini, tertumpu pada usuluddin, fiqh dan tasawuf sahaja).
Walaupun Tok Kenali tidak meninggalkan karya tulis yang besar seperti Tuan Padang, Tuan Tabal dan Tok Wan Ali Kutan, namun beliau berjaya melahirkan satu angkatan ulama pelapis paling berwibawa – bukan sahaja di negeri Kelantan, tetapi juga di luar Kelantan. Antara murid-murid jempolannya termasuklah : Hj. Mat Jebeng (kemanakannya), Hj. Che Mat Padang Mengkali, Lebai Deraman Pasir Mas, Hj. Seman Sering (Syeikh Osman Jalaluddin al-Kalantani), Hj. Yaakub Lorong Gajah Mati, Hj. Abdul Kadir Melor, Hj. Abdullah Tahir Bunut Payong, Hj. Yusoff Padang Bemban, Hj. Awang Lambor, Dato’ Hj. Ahmad Maher al-Azhari, Hj. Ali Pulau Pisang, Hj. Abdul Majid Kayu Rendang, Hj. Mat Pauh, Hj. Awang Serendah, Hj. Daud Bukit Abal, Hj. Awang Beta, Hj. Hamzah Padang Bemban, Hj. Ismail Perol, Dato’ Hj. Ismail Yusoff, Hj. Abdul Rahman Lubok Tapah, Hj. Hasbullah Bot dan Hj. Nor Bot. Manakala dari luar Kelantan pula tersenarai pula nama-nama seperti Hj. Wan Abdul Latif Jerteh, Hj. Zainal Abidin Dungun, Dato’ Hj. Hasan Yunus al-Azhari (Menteri Besar Johor), Dato’ Hj. Abdul Rahim Yunus (Mufti Kerajaan Johor), Hj. Abdul Wahid Osman Sungai Udang, Hj. Ibrahim Bongek Rembau, Syeikh Mohd. Idris al-Marbawi al-Azhari Kuala Kangsar, Hj. Osman Bukit Besar, Hj. Abdullah Abbas Nasution Jitra, Hj. Bahauddin Sumatera Jeneri, Hj. Hasan Lampung, Hj. Yaakub Legor dan Tok Lata (Patani).
Di samping itu, dua orang putera Tok Kenali sendiri – Tuan Guru Hj. Ahmad dan Syeikh Mohd. Saleh Kenali (menetap di Makkah) – juga tergolong ulama dan pendakwah yang berjasa besar.
Nyatalah rumusan yang menyebut Kelantan sebagai “Serambi Mekah” itu sangat terkait dengan kehebatan dan kemasyhuran nama Tok Kenali.
Tok Kenali kembali ke rahmatullah di kediamannya pada pukul 7.30 pagi Ahad 2 Syaaban 1352 bertepatan 19 November 1933 dan dikebumikan di Kubang Kerian.

SEJARAH TOK JANGGUT


Nama sebenar Tuk Janggut ialah Haji Mat Hassan bin Panglima Munas. Beliau mendapat pendidikan di Mekah dan mahir bersilat. Selepas Perjanjian Bangkok 1909, British mengambil alih pemerintahan Kelantan daripada Siam dan mula membawa pelbagai perubahan khususnya dari segi pentadbiran. Perubahan yang diperkenalkan telah menyentuh kedudukan dan keistimewaan tradisional di negeri Kelantan.

Antara yang paling sensitif ialah mengenai pengenaan cukai kepala sebanyak RM1.00 seorang setiap tahun, pokok buah-buahn sebanyak 3 sen setahun, kelapa 3 sen setandan dan sireh 5 sen sejunjung.

Pada 29 April 1915, pentadbiran Jeram, Pasir Puteh, Kelantan telah diambil alih oleh Encik Latiff iaitu seorang pegawai tadbir Pentadbiran British yang berasal daripada Singapura, menggantikan raja yang berkuasa di daerah itu. Pertelingkahan mengenai cukai dan pengurusan pengutipan cukai membuatkan Haji Mat Hassan (Tuk Janggut) enggan membayar cukai.

Encik Latiff mengarahkan satu pasukan polis yang diketuai oleh Sarjan Sulaiman (Che Wan) bertolak ke Kampung Tok Akib untuk menangkap Tuk Janggut pada 29 April 1915. Dalam satu pergelutan yang berlaku, Sarjan Sulaiman telah ditikam oleh Tuk Janggut lalu terbunuh, Tuk Janggut telah menghimpunkan orang-orangnya menuju ke Pasir Puteh. Encik Latiff pula telah melarikan diri melalui ke Kota Bharu. Bantuan daripada Singapura dan Negeri Melayu Bersekutu dikejarkan ke Pasir Puteh pada 6 Mei 1915. Satu pertempuran berlaku pada 25 Mei 1915 di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh.

Kebangkitan Tuk Janggut menyebabkan Sultan Kelantan yang memerintah pada masa itu berasa terancam dan serba salah. Atas Desakan Pegawai Penasihat British pada masa itu Sultan Kelantan terpaksa menganggap Tuk Janggut sebagai seorang penderhaka. Pada hal Tuk Janggut bangkit menentang atau melawan pentadbiran British yang menggunakan undang-undang cukai baru di seluruh Kelantan, termasuk Pasir Putih.

Dalam pertempuran di Kampung Pupuh, Tuk Janggut telah terkena tembak lalu meninggal dunia. Mayat Tuk Janggut dibawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang memakan masa satu hari. Mayat beliau digantung songsang (kaki di atas dan kepala di bawah)beberapa hari di Padang Bank (Padang Merdeka).Kemudian mayatnya itu telah ditembak oleh sepasukan pihak British sehingga putus dua badannya. Selepas itu mayatnya dibungkus dan dibawa dengan perahu ke Pasir Pekan untuk dikebumikan.

Saturday, September 22, 2012

Bank Pitis, Kota Bharu



Bank Pitis adalah merupakan sebuah bangunan batu tertua yang terletak di luar pintu masuk ke Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan. Bangunan ini telah dibina pada zaman pemerintahan Sultan Muhammaad III (Long Kundur bin Sultan Ahmad 1889- 1890). Tujuan utama bangunan ini adalah untuk menyimpan pitis-pitis (pitis dalam dialek Kelantan bermaksud wang) perbelanjaan negeri Kelantan pada masa itu.
[sunting]Sejarah

Bangunan ini berbentuk empat segi sama dengan berukuran 12 kaki lebar dan tingginya 12 kaki. Daun pintunya diperbuat daripada kayu cengal dan dipasang dengan tiga penyelak (kunci) yang diperbuat daripada besi.
Pemerintah Kelantan, Sultan Muhammad IV pada tahun 1903 telah menghantar "pohon duit" kepada Raja Siam. Pada masa itu, Kelantan masih merupakan negeri di bawah perlindungan Siam. "Pohon Duit" ini juga dikenali sebagai Pohon Pitis. Berdasarkan dialek Kelantan, "pohon" merujuk kepada "pokok" manakala "Pitis" atau "Pitih" pula merujuk kepada wang. Berdasarkan sejarah, Kelantan menggunakan Pitih sebagai matawang sehingga tahun 1920.
"Pohon Pitis" Kelantan dibuat daripada logam timah yang mengandungi 13 syiling menggunakan teknologi acuan yang diperkenalkan oleh pedagang dari China. Pada bahagian muka syiling tertulis “Thuriba Fi Zul-Hijjah Sanat 1321” bermakna bulan Zul–hijjah 1903 dan dibelakangnya pula tertulis perkataan “Belanjaan Kerajaan Kelantan” untuk mengesahkan bahawa ianya adalah matawang rasmi kerajaan Kelantan.
[sunting]Rujukan

Info Bank Pitis di laman web Kerajaan Kelantan

Masjid Kampung Laut , Kota Bharu



                                           Masjid kg laut (Gambar ihsan Arkib Yusof Rawa)

Masjid yang sekarang dibangunkan semula di Nilam Puri, aslinya terletak di Kampung Laut, sebuah kampung di tepi Sungai Kelantan, di seberang sebelah hilir bandar Kota Bharu. Adalah dipercayai bahawa masjid ini menjadi masjid tertua di negeri Kelantan, meskipun tarikh ia dibangunkan tidak diketahui. Ada dugaan yang menyatakan bahawa masjid ini telah dibina sejak lebih 300 tahun yang lalu. Reka bentuk bangunannya agak unik dan berbeza daripada reka bentuk masjid-masjid lain yang terdapat di negeri Kelantan atau di negeri-negeri Melayu yang lain. Ada yang menyebut bahawa rekabentuk masjid ini mirip atau hampir manyerupai rekabentuk sebuah masjid tua di Demak, Jawa Timur. Oleh kerana persamaan ini, maka ada orang berpendapat bahawa masjid ini dibina oleh sekumpulan orang-orang Jawa yang terkandas di Pantai Kelantan dalam perjalanan ulang-alik an tara Jawa dengan. Champa. Oleh kerana bangunan masjid ini terletak di tepi Sungai Kelantan yang sentiasa banjir, maka ia sangat terdedah kepada bahaya atau ancaman kemusnahan. Pada waktu banjir besar melanda negeri Kelantan pada bulan ]anuari 1967, sebahagian tapak kawasan masjid ini telah jatuh ke dalam sungai menyebabkan kedudukan masjid jadi senget dan goyah. Bagi menyelamatkan warisan yang sangat berharga ini, usaha-usaha tdah diambil oleh Persatuan Sejarah Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan bagi memindahkannya ke tempat lain yang lebih selamat, iaitu dalam kawasan kampus Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan di Nilam Puri, Kota Bharu. Bangunan masjid ini telah dibina semula, seberapa yang boleh, menurut rekabentuk asalnya. Sekumpulan tukang¬tukang Melayu yang mahir, diketuai oleh Encik Husin bin Saleh dari Kampung Bunut Payong, Kota Bharu, telah bekerja keras membangunkannya semula. Kerja-kerja ini tdah dimulai pada bulan November tahun 1968 dan siap sepenuhnya setahun kemudian. Pada bulan Mei tahun 1970, bangunan masjid ini telah diserahkan oleh Persatuan Sejarah Malaysia kepada Kerajaan Negeri Kelantan dalam suatu majIis penyerahan rasmi di Nilam Puri.

Rujukan: Ikhtisar SEJARAH KELANTAN (Tanah Serendah Sekebun Bunga), Abdul Razak Mahmud, Pustaka Aman Press Sdn Bhd., Kota Bharu, 2002

Saturday, September 15, 2012

Sejarah Kota Bharu



Kota Bharu ialah ibu kota negeri Kelantan telah dibuka secara rasminya oleh Sultan Muhammad II (Sultan Senik Mulut Merah) pada tahun 1844. Namun kawasan penempatan di situ dipercayai telah diterokai lama sebelum itu. Apabila Sultan Muhammad I (Long Muhammad bin Long Yunus) mangkat pada tahun 1837, Long Zainal (adinda kepada Sultan Muhammad I) dengan sokongan sejumlah kerabat Diraja mengisytiharkan dirinya sebagai Yang DiPertuan Kelantan. Manakala Long Senik Mulut Merah (anak saudara kepada Almarhum Sultan Muhammad I dan Long Zainal) yang dipersetujui bakal pengganti oleh Almarhum Sultan Muhammad I telah diketepikan. Kota Bharu terletak tidak jauh dari Sungai Kelantan. Perkataan "Kota" bermaksud sesebuah Bandar dan "Kota Bharu" adalah sebuah bandar yang baru. Kota Bharu terletak di Tebing sebelah Timur Sungai Kelantan dan agak jauh dengan landasan keretapi yang terletak di Tebing sebelah Barat Sungai Kelantan.Bandar ini adalah pusat komersil dan ekonomi serta juga Bandar Diraja Kelantan.