Sunday, October 7, 2012
JEPUN MENDARAT DI PANTAI BACHOK
PENDUDUKAN JEPUN DITANAH MELAYU
TARIKH PERISTIWA : 08. 12.1941
Pada hari ini dalam tahun 1941, Tentera Jepun yang diketuai oleh Jeneral Takumi telah mendarat di Pantai Sabak di Kota Bharu, Kelantan. Pendaratan ini telah menandakan bermulanya siri penawanan Tentera Jepun ke atas Tanah Melayu. Usaha Tentera Inggeris di bawah pimpinan Brigadier Kay yang mengetuai 28th Indian Infantry Brigade dalam mempertahankan Kota Bharu telah menemui kegagalan. Sebelum mendarat di Kota Bharu, Jepun telah menandatangani Perjaniian Persahabatan dengan Thailand yang membenarkan Jepun mendarat dan mara ke Tanah Melayu melalui Selatan Thai iaitu melalui Singgora dan Patani. Semasa serangan ini, pertahanan di Tanah Melayu tidak cukup bersedia dan Inggeris menyangka bahawa tentera Jepun akan menyerang Singapura melalui laut lalu menumpukan pertahanan di Singapura. Sebaliknya tentera Jepun telah mendarat di Kota Bharu dan mara ke selatan. Sementara itu tentera Jepun dari Singgora dan Patani telah mara ke Kedah dan memecahkan pertahanan di Jitra dan Alor Setar. Kedua-dua ketumbukan tentera Jepun ini telah bergerak ke arah selatan dengan pantasnya berikutan itu Pulau Pinang jatuh ke tangan Jepun pada 17 Disember 1941 diikuti oleh Ipoh pada 27 Disember 1941. Akhirnya Jepun menawan Kuala Lumpur pada 11 Januari 1942 dan berjaya menakluki seluruh Semenanjung Tanah Melayu.
[SUMBER : ARKIB NEGARA.COM]
SEJARAH TOK KENALI
Tokoh ulama Kelantan paling masyhur, malah termasuk antara ulama besar Semenanjung Melayu. Sezaman dengan Tuan Husein Kedah, Pak Wan Sulaiman (Syeikhul Islam Kedah), Haji Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang), Haji Abu Bakar Alim (Muar), Haji Mat Shafie Losong (Terengganu) dll. Guru pondok yang sangat dihormati, bahkan hingga sekarang pun namanya masih menjadi bualan dan disebut ramai.
Nama sebenar tokoh pendidik yang dilahirkan di Kg. Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu pada 1287H/1870M ini ialah Haji Mohd. Yusoff Ahmad.
Menuntut di Makkah selama 22 tahun (1305H – 1327H). Sangat alim dalam ilmu tatabahasa Arab (nahu/soraf), malahan beliaulah yang merintis kemasukan mata pelajaran ini ke dalam kurikulum pengajian pondok (sebelum ini, tertumpu pada usuluddin, fiqh dan tasawuf sahaja).
Walaupun Tok Kenali tidak meninggalkan karya tulis yang besar seperti Tuan Padang, Tuan Tabal dan Tok Wan Ali Kutan, namun beliau berjaya melahirkan satu angkatan ulama pelapis paling berwibawa – bukan sahaja di negeri Kelantan, tetapi juga di luar Kelantan. Antara murid-murid jempolannya termasuklah : Hj. Mat Jebeng (kemanakannya), Hj. Che Mat Padang Mengkali, Lebai Deraman Pasir Mas, Hj. Seman Sering (Syeikh Osman Jalaluddin al-Kalantani), Hj. Yaakub Lorong Gajah Mati, Hj. Abdul Kadir Melor, Hj. Abdullah Tahir Bunut Payong, Hj. Yusoff Padang Bemban, Hj. Awang Lambor, Dato’ Hj. Ahmad Maher al-Azhari, Hj. Ali Pulau Pisang, Hj. Abdul Majid Kayu Rendang, Hj. Mat Pauh, Hj. Awang Serendah, Hj. Daud Bukit Abal, Hj. Awang Beta, Hj. Hamzah Padang Bemban, Hj. Ismail Perol, Dato’ Hj. Ismail Yusoff, Hj. Abdul Rahman Lubok Tapah, Hj. Hasbullah Bot dan Hj. Nor Bot. Manakala dari luar Kelantan pula tersenarai pula nama-nama seperti Hj. Wan Abdul Latif Jerteh, Hj. Zainal Abidin Dungun, Dato’ Hj. Hasan Yunus al-Azhari (Menteri Besar Johor), Dato’ Hj. Abdul Rahim Yunus (Mufti Kerajaan Johor), Hj. Abdul Wahid Osman Sungai Udang, Hj. Ibrahim Bongek Rembau, Syeikh Mohd. Idris al-Marbawi al-Azhari Kuala Kangsar, Hj. Osman Bukit Besar, Hj. Abdullah Abbas Nasution Jitra, Hj. Bahauddin Sumatera Jeneri, Hj. Hasan Lampung, Hj. Yaakub Legor dan Tok Lata (Patani).
Di samping itu, dua orang putera Tok Kenali sendiri – Tuan Guru Hj. Ahmad dan Syeikh Mohd. Saleh Kenali (menetap di Makkah) – juga tergolong ulama dan pendakwah yang berjasa besar.
Nyatalah rumusan yang menyebut Kelantan sebagai “Serambi Mekah” itu sangat terkait dengan kehebatan dan kemasyhuran nama Tok Kenali.
Tok Kenali kembali ke rahmatullah di kediamannya pada pukul 7.30 pagi Ahad 2 Syaaban 1352 bertepatan 19 November 1933 dan dikebumikan di Kubang Kerian.
SEJARAH TOK JANGGUT
Nama sebenar Tuk Janggut ialah Haji Mat Hassan bin Panglima Munas. Beliau mendapat pendidikan di Mekah dan mahir bersilat. Selepas Perjanjian Bangkok 1909, British mengambil alih pemerintahan Kelantan daripada Siam dan mula membawa pelbagai perubahan khususnya dari segi pentadbiran. Perubahan yang diperkenalkan telah menyentuh kedudukan dan keistimewaan tradisional di negeri Kelantan.
Antara yang paling sensitif ialah mengenai pengenaan cukai kepala sebanyak RM1.00 seorang setiap tahun, pokok buah-buahn sebanyak 3 sen setahun, kelapa 3 sen setandan dan sireh 5 sen sejunjung.
Pada 29 April 1915, pentadbiran Jeram, Pasir Puteh, Kelantan telah diambil alih oleh Encik Latiff iaitu seorang pegawai tadbir Pentadbiran British yang berasal daripada Singapura, menggantikan raja yang berkuasa di daerah itu. Pertelingkahan mengenai cukai dan pengurusan pengutipan cukai membuatkan Haji Mat Hassan (Tuk Janggut) enggan membayar cukai.
Encik Latiff mengarahkan satu pasukan polis yang diketuai oleh Sarjan Sulaiman (Che Wan) bertolak ke Kampung Tok Akib untuk menangkap Tuk Janggut pada 29 April 1915. Dalam satu pergelutan yang berlaku, Sarjan Sulaiman telah ditikam oleh Tuk Janggut lalu terbunuh, Tuk Janggut telah menghimpunkan orang-orangnya menuju ke Pasir Puteh. Encik Latiff pula telah melarikan diri melalui ke Kota Bharu. Bantuan daripada Singapura dan Negeri Melayu Bersekutu dikejarkan ke Pasir Puteh pada 6 Mei 1915. Satu pertempuran berlaku pada 25 Mei 1915 di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh.
Kebangkitan Tuk Janggut menyebabkan Sultan Kelantan yang memerintah pada masa itu berasa terancam dan serba salah. Atas Desakan Pegawai Penasihat British pada masa itu Sultan Kelantan terpaksa menganggap Tuk Janggut sebagai seorang penderhaka. Pada hal Tuk Janggut bangkit menentang atau melawan pentadbiran British yang menggunakan undang-undang cukai baru di seluruh Kelantan, termasuk Pasir Putih.
Dalam pertempuran di Kampung Pupuh, Tuk Janggut telah terkena tembak lalu meninggal dunia. Mayat Tuk Janggut dibawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang memakan masa satu hari. Mayat beliau digantung songsang (kaki di atas dan kepala di bawah)beberapa hari di Padang Bank (Padang Merdeka).Kemudian mayatnya itu telah ditembak oleh sepasukan pihak British sehingga putus dua badannya. Selepas itu mayatnya dibungkus dan dibawa dengan perahu ke Pasir Pekan untuk dikebumikan.
Subscribe to:
Posts (Atom)


